HIV sebenarnya adalah singkatan bagi ‘Human Immunodeficiency Virus’ iaitu virus yang menyebabkan AIDS. AIDS pula ialah singkatan bagi ‘Acquired Immunodeficiency Syndrom’ iaitu Sindrom Kurang Daya Tahan melawan penyakit. Menurut laman web My Health for Life pula, HIV iaitu Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit, merupakan virus yang memusnahkan system imunisasi badan, menyebabkan pesakit terdedah kepada pelbagai jenis penyakit dan kanser. AIDS (Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit Akut Yang Teruk) merupakan peringkat yang mana pesakit yang dijangkiti HIV mula menunjukkan jangkitan yang khusus atau sel-sel pertahanan badan turun sehingga 200/µl.
Virus HIV mula ditemui di Afrika dan dipercayai berasal dari monyet. Terdapat virus ini di kalangan monyet hijau Afrika (African Green Monkey dan monyet macagua (macague)). Pun begitu, jangkitan virus ini tidak mengakibatkan AIDS di kalangan monyet-monyet berkenaan. HIV mula dikesan pada pelacur-pelacur di Afrika Barat pada tahun 1985 dan ia mirip kepada virus yang menyebabkan AIDS. Maka hipotesis AIDS bermula sebagai satu penyakit zoonosis atau penyakit daripada haiwan kepada manusia mula mendapat perhatian untuk penyelidikan oleh para saintis (Berita Harian, 2008).
Anatomi bagi Virus AIDS
Faktor penyebabApabila seseorang individu itu terkena jangkitan virus ini, darah, semen, cecair badan, lelehan vagina dan susu ibu individu yang terkena jangkitan akan mengandungi virus ini. Individu yang terkena jangkitan pula akan membawa virus (dan dapat memindahkan virus) tersebut sepanjang hayat mereka. Walau bagaimana pun, HIV hanya boleh berjangkit melalui empat cara sahaja iaitu, melalui perhubungan seks tidak selamat, melalui perkongsian jarum suntikan atau picagari, melalui ibu kepada bayinya semasa kehamilan, kelahiran atau penyusuan dan melalui tranfusi darah. Namun anda harus ingat bahawa virus ini tidak boleh merebak melalui sentuhan biasa seperti tinggal serumah, ataupun bekerja bersama pembawa HIV tersebut. Mengikut laman web My Health for Life, sejak AIDS dilaporkan pertama kalinya pada tahun 1986 hinggalah tahun 2004, sejumlah 60,621 kes jangkitan berlaku dan 8294 AIDS kes berlaku di Malaysia.
Simptom / Tanda-tandaSeseorang yang dijangikiti HIV tidak akan menunjukkan sebarang tanda pada awal jangkitan. Seseorang itu boleh berada dalam keadaan yang sihat pada 8 tahun hingga 10 tahun jangkitan. Walau bagaimana pun, simptom-simptom yang ditunjukkan oleh setiap individu yang dijangkiti virus ini adalah berbeza. Seseorang itu mungkin juga akan sembuh selepas jangkitan dan berkeadaan sihat selama beberapa tahun sehinggalah sistem daya tahan badannya menjadi lemah dan orang tersebut jatuh sakit disebabkan jangkitan penyakit yang berulang-kali.
Apabila Sistem Pertahanan Tubuh dilumpuhkan oleh Penyakit HIV/AIDS, individu yang dijangkiti akan menunjukkan tanda-tanda termasuklah badan terlalu lemah dan lesu, penurunan berat badan yang mendadak, demam panas yang kerap, berpeluh pada waktu malam, kelenjar limfa membengkak, ruam kulit dan ulser pada permukaan mukosa, sebagai contoh : lapisan dalam mulut, cirit-birit yang kronik, batuk kronik, hilang ingatan serta jangkitan teruk yang tidak dapat dirawat.
PencegahanPada masa kini tiada vaksin yang berkesan untuk merawat penyakit ini. Apa yang boleh dilakukan adalah untuk mengelakkan daripada dijangkiti oleh penyakit ini dan untuk membendung penyakit ini agar tidak terus menular. Oleh itu untuk mengelakkan daripada dijankiti penyakit ini kita haruslah mengamalkan cara hidup yang sihat. Elakkan diri dari melakukan hubungan seks rawak dan seks tidak selamat ataupun melakukan hubungan seks sebelum perkahwinan atau pernikahan. Bagi remaja yang Berumur 16 tahun ke bawah, menjalin hubungan seks adalah salah di sisi undang-undang kecuali telah berkahwin. Selain itu, kita haruslah setia hanya pada seorang pasangan, dan jika melakukan hubungan seks juga gunakan kondom dan jangan bertukar-tukar pasangan.
Selain itu, jangan melibatkan diri anda dalam golongan penagih dadah. Jauhi diri dari dadah. Tidak berkongsi jarum suntikan bila anda melakukan penyalah gunaan dadah. Jika anda seorang penagih dadah, mendapat rawatan untuk menghentikan ketagihan itu. Menggunakan jarum yang bersih dan basmi kuman. Elakkan dari pengambilan alkohol atau dadah di mana ia akan menjejaskan pertimbangan anda. Elakkan berkongsi jarum suntikan.
Ibu yang mengandung bayi dan menghidap HIV/AIDS, diminta supaya berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan langkah yang boleh dilakukan. Bagi mereka yang menghidap HIV/AIDS dan ingin mendapatkan bayi, diminta agar pergi berjumpa dengan doktor atau mendapatkan nasihat di pusat-pusat kaunseling yang anda percayakan. Jika tidak, sila dapatkan bantuan dari persatuan-persatuan, jabatan-jabatan kesihatan atau pertubuhan-pertubuhan kesihatan yang berkaitan. Mereka selalu bersedia untuk menolong anda. Elakkan memberi susu badan kepada bayi untuk mengurangkan risiko jangkitan
Elakkan dari pemindahan darah sejauh mana yang boleh. Kurangkan kemungkinan mendapat kecederaan yang teruk. Elakkan diri dari mengambil suntikan kecuali jika betul-betul perlu. Jika anda terpaksa mengambil suntikan, pastikan jarum dan 'syringe' didapatkan terus dari bungkusan yang bersih dari kuman (sterile) atau telah dibersihkan dari kuman. Pastikan alat suntikan digunakan sekali sahaja, kemudian dibuang dengan selamatnya. Jangan kongsi benda yang mungkin ada kesan darah orang lain seperti pisau cukur, berus gigi atau alat suntikan. Elakkan dari mendapatkan "tattoo", "acupuncture" dan sebagainya. Sekiranya anda mahu berbuat demikian, pastikan alat-alat penebus kulit tersebut sentiasa dibersihkan dari kuman. Pada amnya, anda hendaklah mengelakkan diri dari sebarang langkah yang menyebabkan kulit anda ditebusi melainkan ianya amat diperlukan.
PenutupSetakat ini masih belum terdapat rawatan bagi jangkitan HIV. Walaubagaimanapun, terdapat ubat yang boleh melemahkan virus HIV. Kombinasi ubat ini dapat membantu pesakit mengawal pertumbuhan virus dan ia juga dapat memperlahankan kemusnahan system imunisasi. Ia juga efektif bagi memanjangkan umur serta meningkatkan kualiti hidup pesakit (My Health for Life). Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu untuk menangani masalah ini serta melambatkan penyebaran epidemik HIV ini. Orang awam termasuklah pelajar-pelajar harus didedahkan kepada maklumat dan pengetahuan tepat tentang HIV/AIDS tentang bagaimana ia berjangkit dan bagaimana ia dicegah. Orang awam juga perlu mempunayi kesedaran yang tinggi tentang bahaya HIV/AIDS. Namun apa yang paling penting sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dan sayangilah tubuh badan anda. Sekian dan Terima kasih.