Friday, April 17, 2009

Chikungunya

Penyakit Chikungunya

Kementerian Kesihatan Malaysia (Bahagian Kawalan Penyakit) mengatakan bahawa penyakit Chikungunya adalah sejenis penyakit yang dibawa oleh nyamuk. Jangkitan berlaku apabila nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti iaitu yang membawa virus Chikungunya daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae menggigit manusia. Namun begitu, penyakit ini sering di salah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi, lagi pula pembawa penyakit ini juga sama iaitu nyamuk Aedes. Penyakit ini pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan Eropah. Ia merupakan sejenis penyakit endemik yang kerap berlaku di kebanyakan negara seperti Sub Sahara Afrika, India, Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina. Malaysia mencatatkan kes pertama pada tahun 1999 di mana seramai 27 orang pendatang asing Myanmar di Pelabuhan Klang telah dijangkiti virus ini. Pada bulan Mac 2006, seramai 37 orang penduduk di Bagan Panchor, Pantai Remis, Perak telah dijangkiti penyakit ini. Pada bulan Disember tahun yang sama juga penyakit ini telah merebak di kalangan 30 orang penduduk tempatan di Ipoh, Perak. (Azmi Hashim, 2008).

Faktor utama yang membawa kepada jangkitan penyakit ini ialah melalui gigitan nyamuk Aedes. Penyebaran atau jangkitan penyakit ini berlaku apabila nyamuk Aedes menggigit seseorang yang telah dijangkiti oleh virus Chikungunya dan memindahkan darah berkenaan kepada seorang mangsa lain yang sihat. Walau bagaimanapun, seseorang yang telah dijangkiti tidak boleh menyebarkan penyakitnya itu secara langsung kepada orang lain. Proses penularan hanya berlaku menerusi nyamuk pembawa.

Tanda-tanda penyakit ini ialah demam panas mengejut, sakit teruk pada sendi, ruam pada badan dan sakit kepala. Biasanya seorang pesakit yang dijangkiti oleh penyakit ini boleh demam dari 1 hingga 7 hari tetapi pada kebiasaannya 5 hari. Di Malaysia, Chikungunya belum pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang berpanjangan. Pesakit yang sudah berumur pula boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun. Walau bagaimanapun, pesakit yang menghidapi penyakit ini tidak dapat diberi rawatan yang khusus kerana ia merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus dan selalunya rawatan yang diberi berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit.

Masyarakat atau orang ramai perlu mengambil peranan dan prihatin terhadap penyakit ini di mana sekiranya mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, mereka adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat. Selain itu, penglibatan keluarga, masyarakat, sekolah, komuniti dan masyarakat terhadap pencegahan terhadap penyakit ini perlu dilakukan iaitu dengan membersihkan kawasan rumah dan persekitaran serta sekolah agar bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong membersihkan kawasan persekitaran atau tempat tinggal mahu pun sekolah serta tempat-tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (Bahagian Kawalan Penyakit) adalah terbukti tiada kes penyakit Chikungunya yang dilaporkan di kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong. Selain itu, orang ramai juga perlu memeriksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes. Secara tidak langsung, tindakan ini juga dapat mengelakkan penyakit denggi yang juga dibawa oleh nyamuk Aedes.

No comments: