Friday, April 17, 2009

Penyakit Tangan Kaki dan Mulut


Penyakit tangan, kaki dan mulut ialah penyakit berjangkit yang sederhana. Gejala penyakit tangan, kaki dan mulut adalah disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus) yang biasanya menjangkiti kanak-kanak berumur 5 tahun. Jangkitan ini berlaku disebabkan tidak mengamal kebersihan diri yang baik dan berada di tempat atau persekitaran yang sesak. Penyakit ini dijangkiti melalui kontak secara langsung dengan pesakit serta melalui najis, air liur dan lelehan dari hidung pesakit. Kebanyakan kes penyakit ini tidak serius. Namun begitu terdapat juga kes-kes teruk yang melibatkan sistem saraf dan jantung. Setiap ahli keluarga dinasihatkan mengamalkan kebersihan diri untuk mencegah jangkitan.

Terdapat beberapa virus yang menyebabkan penyakit ini antaranya ialah virus Coxsackie A16. Kadang-kala juga terdapat jenis kuman virus lain seperti virus Coxsackie A atau enterovirus 71 yang boleh mencetuskan penyakit ini. Virus Coxsackie merupakan salah satu dari jenis virus yang terdapat di dalam kelompok virus yang dikenali sebagai enterovirus seperti virus Polio, virus Coxsackie dan Echovirus. Di Sarawak pada tahun 1997 wabak tangan, kaki dan mulut adalah disebabkan oleh virus Coxsackie dan Enterovirus 71 (EV71) dan pada tahun 1997 juga EV71 telah di sah menyebabkan 4 dari 31 kematian akibat penyakit ini di Sarawak (Kementerian Kesihatan Malaysia, Bahagian Pendidikan Kesihatan).

Penyakit ini amat mudah berjangkit pada minggu pertama pesakit menghidapinya. Penyakit tangan, kaki dan mulut tidak boleh merebak kepada atau daripada binatang peliharaan ataupun binatang-binatang lain. Selepas seseorang itu dijangkiti kuman virus ini tempoh pengeramannya adalah di antara 2 hingga 6 hari. Gejala seperti demam dan ketidakselesaan pada mulut biasanya akan hilang pada hari ketiga atau keempat. Ulser mulut akan hilang pada hari ke 5 hingga 7 tetapi lepuh dan bintik-bintik merah di tangan, kaki akan hanya hilang dalam tempuh 10 hari. Demam berkemungkinan mencapai panas sehingga 39 C.

Penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur. Walau bagaimana pun, kanak-kanak yang berumur di bawah 5 tahun adalah amat mudah untuk dijangkiti penyakit ini. Pada bulan September 2000, lebih daripada 1000 kanak-kanak di Singapura telah didiagnosis mengidap penyakit tangan, kaki dan mulut. Di Malaysia, pada bulan Oktober 2000, sebanyak 137 kes telah dilaporkan di negeri Johor sahaja yang merupakan 40% dari keseluruhan jumlah kes (362) yang dilaporkan sepanjang tahun 2000 (Kementerian Kesihatan Malaysia, Bahagian Pendidikan Kesihatan). Sebanyak 6,814 kes kanak-kanak dijangkiti penyakit itu telah dilaporkan di Sarawak, Sepanjang wabak itu, 848 kanak-kanak dimasukkan ke hospital tetapi semuanya telah dibenarkan keluar hospital kecuali 25 orang yang masih di bawah pengawasan (Utusan Malaysia Online, 2008).

Justeru itu, orang awam perlu membawa anak mereka ke klinik atau hospital yang berdekatan sekiranya mendapati anak mereka tidak membuang air kecil lebih dari 8 jam serta anak tersebut kelihatan begitu tidak sihat (kelihatan kusut, mengantuk, pucat atau berbelak-belak, resah atau meragam dan tidak dapat tidur atau berpeluh dingin), demam yang berpanjangan sehingga lebih daripada 3 hari, kesakitan pada mulut yang semakin teruk serta mengalami lemah otot kaki dan tangan atau diserang sawan.

Sekiranya terdapat tanda-tanda yang menunjukkan penyakit ini pada anak-anak, ibu bapa seharusnya tahu apa yang harus dilakukan bagi membendung dan mencegah penyebaran penyakit ini. Apa yang penting adalah menjaga kebersihan diri dan persekitaran anak tersebut, seperti mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, mencuci najis kanak-kanak dan sebelum menyediakan makanan.

No comments: