Mengikut Kamus Dewan Eja Pro V.192 (2007), perlembagaan membawa erti undang-undang atau peraturan negeri iaitu dasar pemerintah negeri. Perlembagaan membolehkan kita mengetahui dan menentukan peraturan hidup, hak-hak warganegara, sistem kehakiman, kuasa kerajaan, badan penggubal undang-undang dan berbagai-bagai lagi. Menurut yang tertulis dalam Portal Pendidikan Utusan (2002), perlembagaan boleh didefinisikan sebagai undang-undang yang menggariskan pemerintahan sesebuah negara. Perlembagaan berfungsi untuk mewujudkan satu bentuk pemerintahan negara yang adil dan mampu untuk memenuhi tuntutan dan kehendak rakyatnya. Perlembagaan juga membolehkan pemimpin atau pentadbir menjalankan tugasnya tanpa berlakunya penyalahgunaan kuasa.
Perlembagaan adalah sumber undang-undang tertinggi di sesebuah negara yang berperanan sebagai panduan bagi pembentukan undang-undang samada di pihak kerajaan atau rakyat. Menurut Profesor Dicey (Mohd. Salleh Abas, 1997), undang-undang perlembagaan mengandungi dua prinsip sahaja, iaitu; Prinsip Kedaulatan Parlimen; dan Prinsip Kedaulatan Undang-undang. Walau bagaimanapun, takrif perlembagaan oleh Profesor Dicey ini tidak memadai. Umumnya perlembagaan terbahagi kepada dua jenis iaitu yang pertama perlembagaan bertulis dan yang kedua perlembagaan tidak bertulis. Perlembagaan bertulis merupakan perlembagaan yang dikumpul dan disusun di dalam satu dokumen. Manakala, perlembagaan tidak bertulis merupakan semua prinsip perlembagaan yang tidak terkumpul dalam satu dokumen seperti undang-undang yang diluluskan oleh parlimen dan keputusan-keputusan mahkamah.
Perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan bertulis, yang mana perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua undang-undang tertinggi yang menjadi sumber pemerintahan negara. Perlembagaan bertulis Malaysia mengandungi beberapa perkara seperti (a) teks, iaitu 16 bahagian dan 183 perkara dan fasal-fasal; (b) Jadual-jadual, iaitu 13 jadual yang menyentuh tentang bidang kuasa eksekutif, legislatif, kehakiman, kedudukan agama Islam, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera sabah dan sarawak dan lain-lain lagi.
Di Malaysia juga, tidak ada institusi yang boleh mengatasi ketinggian Perlembagaan Malaysia. Malah ketiga-tiga badan kerajaan (perundangan, kehakiman, eksekutif) dan Yang di Pertuan Agong juga tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia. Ini kerana, perlembagaan memperuntukan dengan nyata dalam Perkara 4(1) iaitu Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.
Oleh itu, secara ringkasnya perlembagaan merupakan kuasa tertinggi dalam pemerintahan sesuatu negara.
Friday, April 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment